»

Wednesday, November 12, 2008

Hantu dalam masyarakat Melayu

Hantu merupakan kepercayaan mengenai makhluk halus yang wujud di dalam alam lain yang terdapat dalam semua kebudayaan dalam dunia ini. Dalam masyarakat Melayu hantu, semangat, jembalang atau penunggu telah wujud sejak zaman animisme lagi. Ketika itu semua benda besar seperti pokok atau batu yang besar dianggap didiami jin penunggu yang perlu dijaga dengan baik agar jin tersebut tidak mengamuk dan membahayakan penduduk sekitar. Malahan jamuan makanan atau acak disediakan oleh seseorang yang berpengalaman yang dikenali sebagai pawang bagi memastikan penunggu tersebut pula membantu penduduk daripada serangan wabak penyakit dan musuh tanaman. Amalan ini masih kekal dikalangan penduduk asli yang masih mengamalkan kepercayaan animisme.
Dengan kedatangan agama
Hindu dan Buddha, konsep penunggu dan jembalang diubah menjadi konsep dewa-dewa yang mendiami tempat-tempat tertentu. Bagi menghormati dewa-dewa ini, kuil-kuil dibina ditempat-tempat tersebut dengan tujuan pemujaan bagi mendapatkan per. Keadaan ini tidak berubah dengan kedatangan orang-orang Cina yang juga mendirikan tokong kecil di bawah pokok atau tempat tertentu bagi mendapatkan bantuan tuah kepada mereka.

Islam menghapuskan

Kedatangan agama Islam mengajar bahawa tidak terdapat mambang dan hantu, yang ada hanyalah mahkluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Makhluk halus ini yang dikenali sebagai jin, dianggap mendiami alam yang berbeza dengan manusia. Islam mengajar bahawa makhluk halus atau jin ini tidak dapat memudaratkan manusia kecuali dengan keizinan Allah, Islam mengajarkan agar hanya takut dan mengesakan Allah semata-mata. Manusia digesa agar menjauhi pujukan syaitan dan selalu berdoa 'Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam - Auzubillah himinash syaitanirrajim'.
Bagaimanapun kebudayaan Melayu yang menebal menyebabkan masih ada yang terkeliru beza antara Islam dan kebudayaan Melayu, yang mendorong mereka menyangka amalan-amalan kebudayaan adalah amalan Islam. Sebagai contoh mandi Safar pernah disalah-anggap satu amalan Islam, sehinggalah para ulamak tampil kehadapan bagi menjelaskan amalan Islam yang sebenar, yang akhirnya mendorong pesta mandi safar dimansuhkan.
Bagaimanapun budaya hantu sukar dikikis daripada masyarakat kerana kecenderungan ibubapa anak-menakutkan anak-anak menyebabkan anak mereka benar-benar takut kepada hantu dan percayakan bahawa hantu itu wujud.


Peranan media massa

Filem hantu Melayu seperti 'Pontianak', 'Dendam Pontianak', dan 'Pontianak Gua Musang' mendapat sambutan hangat daripada para penonton pada masa itu. Akibat kejahilan dalam agama dan ramai orang yang tidak terpelajar pada ketika itu, filem-filem itu mempengaruhi mereka. Ini mendorong kerajaan untuk menghentikan pembuatan dan penayangan filem-filem bercorak hantu yang boleh merosakkan akidah. Bagaimanapun, cerita-cerita hantu masih ditulis dalam majalah seperti majalah 'Mastika' dan 'Tok Ngah'. Setelah dipertimbangkan kembali bahawa kebanyakan orang pada masa kini lebih terpelajar dan faktor kebanjiran masuk filem-filem hantu asing, ini telah mendorong kerajaan menarik balik sekatan tersebut sekitar tahun 2000. Malah dokumentari alam ghaib seperti 'Filem Melangkah ke Alam Ghaib' dan 'Misteri Nusantara' di saluran TV3 turut membincangkan mengenai kewujudan hantu.

Mengapa hantu

Hantu wujud dalam minda Melayu sebagai satu penjelasan mengenai perkara-perkara yang tidak difahami atau diketahui. Contohnya :

  • Mengapa seseorang itu sakit mengejut pada hal sebelum ini kelihatan sihat selepas pindah ?
  • Mengapa pokok besar dan berakar songsang itu berbunyi pada waktu malam ?.
  • Mengapa sesebuah rumah itu ditinggalkan oleh penghuninya, dan orang yang baru berpindah masuk tidak kekal lama. Ada bunyi orang mengilai .
  • Mengapa kawasan kubur seperti ada sesuatu bergerak dan berbunyi pada waktu malam.
  • Mengapa mayat seseorang dijumpai berkecai-kecai ketika berladang. (Akibat haiwan buas?)


Mungkin orang Melayu hendak menakutkan anak-anaknya janganlah keluar waktu malam atau waktu maghrib. Mungkin cerita hantu mudah direka dan menjadi hiburan pada waktu malam.

Ciri-ciri umum

Pada umumnya orang-orang Melayu percaya hantu menjalankan aktivitinya pada waktu malam sahaja khususnya pada bulan mengambang. 99 % hantu dalam masyarakat Melayu terdiri daripada perempuan atau menyerupai perempuan. Hantu dalam masyarakat Melayu adalah untuk ditakuti, bukan untuk didekati.
Kebanyakan hantu ini matanya merah, pada mulutnya merah kesan-kesan darah. Mulutnya penuh dengan gigi yang tajam bercerancang, berwarna merah, selalunya selepas menghisap
darah.

Jenis-jenis hantu

Ada pelbagai jenis hantu atau makhluk yang dianggap hantu ini . Munsyi Abdullah dalam Hikayat Abdullah telah lama mempertikaikan kepercayaan karut orang Melayu ini. Antara jenis-jenis kelompok hantu-hantu ini adalah :

PONTIANAK

Puntianak atau lebih popular dieja sebagai pontianak, dipercayai oleh masyarakat Melayu bahawa ia berasal daripada perempuan yang mati ketika mengandungkan anaknya. Terdapat juga pendapat menyatakan bahawa ia merupakan jin (hantu) liar yang bertindak mengganggu manusia.

Puntianak ini dikatakan mempunyai lubang dibelakang tengkuknya. Sesiapa yang berjaya hidup ketika berjumpa puntianak dalam jelmaan wanita dan memasukkan paku ke dalam lubang ini dikatakan menjadikan puntianak tersebut kekal menjadi wanita cantik. Sekiranya paku itu dikeluarkan, ia akan kembali sebagai puntianak. Bagaimanapun, anda dinasihatkan agar tidak cuba memaku mana-mana wanita yang dijumpai kerana akhirnya anda mungkin akan dituduh membunuh.

Hantu puntianak dikatakan sering menjelma sebagai wanita cantik yang berjalan seorang diri dijalan yang sunyi. Oleh itu, cerita ini kemungkinan bertujuan menghindari golongan wanita daripada diganggu oleh pemuda-pemuda yang takutkan puntianak ketika berjalan seorang diri di jalan yang sunyi.

POLONG

Hantu Polong merujuk kepada semangat atau makhluk halus belaan yang dipelihara oleh seseorang, biasanya lelaki, bertujuan untuk tujuan memudaratkan musuh. Hantu polong dipercayai diberi makan darah dari jari tuannya.
Menurut kepercayaan orang Melayu, polong dihasilkan dengan meletak
darah orang yang mati dibunuh kedalam botol bermulut panjang. Botol tersebut kemudiannya akan dipuja dan jampi serapah akan dibacakan dalam tempoh masa tertentu. Selepas tujuh hingga dua minggu akan kedengaran bunyi mengerit daripada dalam botol. Pemuja polong perlu menghiris sedikit jarinya dan memasukkan jarinya yang berdarah itu ke dalam botol untuk memberi polong makan. Dengan memberi makan, polong ini akan terikat kepada tuannya dan akan melakukan apa sahaja suruhan tuannya.
Polong biasanya akan disimpan di dalam botol dan hanya dikeluarkan apabila hendak memusnahkan musuh. Mangsa polong biasanya boleh dikenali dengan kesan lebam pada mayat dan darah keluar melalui mulut.

Hantu polong dikatakan akan dipelihara oleh lelaki untuk menyakiti musuh. Selain itu hantu polong juga digunakan bagi mendapatkan wang. Polong akan menyerang seseorang mangsa dan hanya keluar apabila tuannya datang membantu menghalaunya keluar, dengan itu mendapat bayaran kerana membantu mengubati mangsa.

Hantu polong adalah sejenis makhluk halus yang dipelihara oleh manusia. Ia perlu diberi makanan menurut tempoh tertentu, biasanya dengan darah tuannya. Dengan itu hantu polong tersebut perlu diwariskan kepada seseorang penganti sebelum tuannya mati sebagai saka. Sekiranya tuannya mati sebelum sempat mencari pengganti, hantu polong akan hidup liar dan mengganggu penduduk berdekatan.

Pengamal ilmu sihir hitam atau ilmu sesat ini adalah satu perbuatan syrik dalam ugama Islam. Polong boleh dipaksa bagi memberikan nama tuannya ketika merasuk mangsa. Biasanya biji lada hitam digunakan bagi menggentel bahagian badan mangsa dengan bacaan doa tertentu yang akan menyebabkan polong yang berada dalam badan mangsa kesakitan.

TOYOL


Toyol merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/syaitan, yang dipelihara bagi tujuan mencuri. Toyol ini dikatakan berbentuk kanak-kanak kecil dan turut mempunyai perangai seperti kanak-kanak kecil. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka.

Toyol mampu menyelip dalam mana-mana bilik berkunci, dan mampu mencari wang tunai yang disorokkan di mana sahaja, kononnya termasuk yang disorok dicelah kitab suci.Pemelihara toyol biasanya akan membeli atau memuja untuk mendapatkan toyol.

Toyol yang dipelihara, dipercayai secara umum sebagai mempunyai bentuk seorang budak kecil berbogel, dengan mata yang merah dan gigi yang tajam. Kononnya, toyol akan dipelihara dalam sebuah botol kecil dan pemiliknya akan memberikannya makan darahnya sendiri setiap hari/setiap bulan mengambang. Sekiranya gagal, toyol akan menghisap darah ahli keluarga terdekat pemiliknya.Sekiranya tidak dijaga dengan baik, toyol akan membinasakan ahli keluarga terdekat pemilik toyol.

Sekiranya toyol tidak lagi diperlukan, pemilik toyol perlu mendapatkan tuan pengganti, atau menghantar toyol itu balik ketempat ia dibeli, atau ia perlu dibuang, biasanya dihanyutkan dengan acak kedalam sungai.
Terdapat petua yang menyatakan sekiranya sejenis permainan, diletakkan hampir dengan wang yang disimpan, toyol akan asyik bermain sehinggakan terlupa mengambil wang. kacang hijau yang diletakkan kedalam kantung juga dikatakan boleh melalaikan toyol.

Toyol juga tidak akan mencuri keseluruhan jumlah wang, tetapi sekadar mengambil sebahagian daripada wang yang tersimpan. Mungkin Kerana kata orang tua-tua yang mengatakan bahawa "budak-budak jangan pegang duit banyak banyak". Pemilik toyol juga perlu memenuhi apa sahaja permintaan toyol peliharaannya, sekiranya gagal, toyol tersebut akan bertindak ganas.

PELESIT


Pelesit merujuk kepada sejenis makhluk halus, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan, yang dipelihara oleh seseorang, biasanya wanita, bagi tujuan memudaratkan musuh. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka. Hantu pelesit dipercayai diberi makan darah dari jari tangan tuannya.
Hantu pelesit dikatakan mampu menjelma sebagai sejenis belalang pelesit, belalang kecil yang mempunyai kepala berbentuk tajam dan tirus, dan masuk kerumah mangsa. Pelesit ini kemudiannya akan mengambil peluang untuk menyerang dan menghisap darah mangsa apabila mangsa leka. Hantu pelesit biasanya dikatakan disimpan dalam botol kecil dan diberi makan
darah yang dititik daripada hujung jari tuannya setiap kali bulan mengambang.Hantu pelesit akan membuat tuannya susah nak mati kerana tiada tuan baru untuk menjaga dia kelak, kecuali ada anak yang sanggup menjaga hantu itu. Dia akan menjaga tuannya sehingga dia dimusnahkan oleh tuannya sendiri. Pembela pelesit dikatakan tidak akan mempunyai zuriat kerana ilmunya yang panas akan membunuh janin atau anak kecil yang berdamping dengannya, sekiranya tidak dijaga dengan baik.


HANTU AIR


Hantu air (juga termasuk Hantu laut) merupakan sejenis makhluk halus digelar mambang atau jin yang terdapat di dalam kawasan berair. Makhluk ini dianggap agak keras dan mampu membahayakan mereka yang bertembung dengannya.Kebiasaannya ia dikatakan terapung-apung seperti batang kayu buruk, tetapi mampu melumpuhkan mereka yang tersentuh dengannya.Selain itu, ia dikatakan mampu menjelma untuk mengusik mereka yang berada di pinggir air.Dipercayai bahawa hantu air berasal daripada ilmu dan makhluk halus yang dibuang, dihanyutkan melalui sungai mengalir ke laut dengan menggunakan acak.Air laut yang berkilauan dikatakan menunjukkan kehadirannya. Bagi menggelakkan gangguan bagi para nelayan dari hantu air (laut), satu upacara yang dikenali sebagai semah laut akan diadakan setiap tahun. Upacara ini juga dikenali sebagai puja pantai / main pantai.


HANTU RAYA


Hantu Raya dalam budaya Melayu, merujuk kepada sejenis makhluk halus dan perkara tahyul. Ia dikatakan terdiri daripada golongan jin atau syaitan, yang dipelihara bagi tujuan membantu tuannya melakukan kerja dan juga bagi memudaratkan musuh. Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka.Hantu Raya akan dikawal oleh pemiliknya yang boleh menyuruhnya melakukan apa-apa juga jenis kerja berat. Hantu Raya juga boleh disuruh oleh tuannya bagi merasuk seseorang. Hantu raya mempunyai keupayaan menjelma sebagai manusia biasa atau haiwan lain, dan biasanya Hantu Raya akan menjelma sebagai tuannya.Hantu Raya yang dipelihara itu akan perlu diberi makan sebagaimana yang dipersetujui. Biasanya makanan yang disediakan dikenali sebagai acak / sajian termasuk telur, ayam panggang, pulut kuning dan sebagainya. Sekiranya tidak dijaga dengan baik dan diberi makan, Hantu Raya yang kelaparan itu akan menyerang tuannya.Hantu Raya biasanya perlu diwarisi, dan sekiranya tidak diturunkan kepada waris, tuannya akan menjadi bangkai bernyawa. Tubuhnya mati dan berbau busuk, tetapi apabila hendak dikebumikan, ia akan bangkit seperti hidup. Selain itu, ia akan makan dengan lahapnya apabila diberi makan.
Hantu Raya biasanya mampu melakukan kerja-kerja berat seperti empat atau lima orang dengan mudah. Ia boleh menjelma sebagai manusia. Ia boleh membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya. Hantu Raya akan mengamuk sekiranya tidak dijaga dengan baik. Tuannya sukar untuk mati sekiranya tidak ada orang hendak menerimanya. Hantu raya suka menyamar sebagai pemiliknya dan akan tidur bersama isteri tuannya jika tidak dikawal. Bagaimana tuan punya menurunkan kepada warisnya adalah melalui keris yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Biasanya setitik darah tuannya dikehendaki untuk memastikan tuan yang baru dan akan menurut perintah tuannya.Ramai orang tua yang mengamalkan bahawa dengan mempunyai pendamping ini mereka merasa selamat dari ancaman musuh tetapi hantu raya atau jin ini ada kelemahannya.


KELEMAHAN HANTU RAYA


Dari segi agama Islam, gunakan lada kering, garam dan arang sahaja.Setiap batang lada patahkan 3 bahagian dengan bacaan fatihah setiap satu dan sebanyak 40 batang lada kering diperlukan(Jadi 120 batang kecil). Bacakan ayat Kursi sebanyak 33 kali dan hembuskan keatas air . Renjis air ini ke atas garam dan arang tadi. Kemudian gunakan arang ini untuk menghidupkan api di atas dupa. Letakkan sedikit lada dan garam sedikit demi sedikit sehingga habis. Masa yang sesuai dari pukul 6.00 petang sehingga habis lada di bakar. Hantu raya akan lari atau mengakibatkan dia cedera disebabkan oleh gas lada ini.Biasanya ia akan membunuh tuannya kerana tuannya tidak dapat mengubatinya.Ayat Kursi adalah pantang Jin dan lada serta garam adalah musuhnya.Gunakan sebaiknya kaedah ini sekiranya anda memasuki rumah yang lama tidak diduduki atau diganggu hantu raya atau anda mengalami sakit yang tiada puncanya. Asapkan badan atau bahagian yang sakit dengan asap lada ini. Insysalah, doa anda dimakbulkan oleh Allah S.W.


HANTU BUNGKUS


Hantu bungkus atau juga dikenali sebagai hantu punjut atau hantu pocong merujuk kepada sejenis makhluk yang berbentuk seperti mayat yang dibungkus dengan kain kafan.Hantu bungkus sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat, dan akan bergerak dengan meloncat seperti hantu cina, atau bergolek. Ia dikatakan mampu bergerak sepantas kereta, bergerak seiring dengan kereta yang dipandu oleh mangsa usikan mereka. Hantu bungkus tidak dipelihara dan terdapat secara bebas. Kemungkinan hantu bungkus adalah jelmaan jin yang menganggu manusia.Mereka yang berani menangkap hantu bungkus dikatakan mampu mendapat kekayaan yang banyak. Ini kerana dikatakan, dalam bungkusan tersebut terdapat wang yang banyak.Anda boleh berlari zig-zag..kerana hantu bungkus hanya bergerak lurus..


LANGSUIR


Langsuir adalah sejenis makhluk halus penghisap darah dalam kepercayaan masyarakat Melayu. Langsuir dipercayai akan merasuk mangsa dan menghisap darah mangsa secara perlahan-lahan sehingga mati.Terdapat sesetengah pendapat bahawa Langsuir berasal daripada wanita yang mati bersalin atau selepas itu.Langsuir dipercayai mampu menyerupai seorang perempuan yang cantik dan mengoda lelaki agar mengikuti mereka ketempat sunyi. Apabila sampai ketempat yang sunyi, langsuir akan berubah kembali kepada rupa asal dan akan merobek perut mangsa atau mencekik leher mangsa dan menghisap darah mereka.
Ayat Kursi adalah kelemahan makhluk ini.


BAJANG


Bajang merupakan makhluk setan yang dipuja daripada mayat bayi yang mati semasa lahir. Ia merupakan setan jantan yang sering kali menjelma sebagai kucing pole cat. Bajang seringkali menyerang kanak-kanak dan mampu menyebabkan penyakit misteri yang boleh membawa maut kepada mangsanya.Bajang akan dikawal oleh pemiliknya dan akan disimpan di dalam tabung buluh. Sejenis daun khusus akan digunakan sebagai penyumbat tabungan tersebut dan dikunci dengan tangkal. Bajang hanya dikeluarkan apabila pemiliknya hendak mengenakan musuhnya.Bajang yang dipelihara itu akan diberi makan telur dan juga susu. Sekiranya tidak dijaga dengan baik dan diberi makan, Bajang yang kelaparan itu akan menyerang tuannya.Bajang boleh dihindari dengan menggunakan tangkal atau azimat. Tidak ada cara membunuh bajang tetapi biasanya sekiranya tuannya diketahui, dia akan dibunuh atau diusir dari kampung tersebut.


BUNIAN


Orang Bunian ialah sebarang makhluk halus dari golongan jin dalam legenda Melayu, mirip dengan elf dalam legenda Eropah.Mereka dikatakan wujud dalam masyarakat besar, menyerupai struktur sosial manusia, mempunyai keluarga, puak, dan struktur masyarakat. Orang Bunian dikatakan mendiami kawasan hutan belantara, jauh dari perhubungan manusia, tetapi ada juga yang tinggal berdekatan dengan manusia malah berkongsi rumah dengan keluarga manusia. Sesetengah masalah kerasukan dikatakan berpunca dari orang bunian.Orang bunian mempunyai kuasa luar biasa yang hebat, dan juga diketahui berkawan dan menolong manusia, terutamanya pawang atau bomoh. Orang bunian dikatakan menculik kanak-kanak, dan bayi didalam perut wanita dan ada dituduh menyebabkan manusia sesat di dalam hutan.Semenjak orang bunian mirip dengan manusia (kecuali berasaskan fakta mereka biasanya ghaib atau halimunan) tidaklah dihiraukan untuk mereka berkahwin dengan manusia. Malah ada pendapat yang mengusulkan bahawa bunian ini adalah hasil gabungan hubungan manusia dan jin. Sekali seorang manusia telah pergi untuk tinggal dengan orang bunian, dia tidak boleh balik ke alam biasa, sebagaimana orang bunian hidup lebih lama daripada manusia. Terdapat cerita mengenai seorang lelaki yang mengahwini orang bunian, tetapi ingin mengembali ke keluarga mereka yang telah ditinggalkan, memutuskan untuk meninggalkan orang bunian. Waktu pulang mereka ke golongan manusia, mereka mendapati bahawa setiap orang yang mereka kenal telah meninggal dunia, dan beberapa tahun sudah berlalu. Cerita ini pernah disebutkan dalam cerita dongeng Amerika iaityu Rip Van Winkle. Perkara tersebut menyerupai teori kerelatifan masa.


HANTU JEPUN

Jepun merujuk kepada sebarang bayangan atau makhluk yang berpakaian seperti tentera Jepun. Selalunya ia dikaitkan dengan tempat-tempat di mana pernah dijadikan markas tentera semasa Perang Dunia II, semasa Jepun menawan Malaysia.
Tempat yang selalu selalu disebut-sebut sebagai kawasan yang dihantuinya adalah bangunan
sekolah berasrama, pejabat kerajaan dan bangunan-bangunan penting yang ada semasa Perang Dunia II. Oleh itu, boleh dikatakan, hantu Jepun ini agak moden.
Selalunya ia dilihat sama ada bersenjatakan
senapang atau pedang, tanpa berkepala atau kepalanya dipangku bersama-samanya.
Kadang kala, ia dikatakan berbaris lengkap bersenjata pada waktu malam (tanpa kepala), dengan bunyi derapan
kasut but tentera.
Tidak pula diketahui sama ada hantu Jepun turut terdapat di negara-negara jajah takluk Jepun yang lain (selain
Singapura).


HANTU BUKIT


Hantu bukit merujuk kepada sejenis makhluk yang berkeliaran dikawasan bukit. Hantu bukit sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat.
Hantu bukit tidak dipelihara dan terdapat secara bebas.


HANTU KUBUR


Hantu kubur merujuk kepada sejenis makhluk yang berkeliaran dikawasan perkuburan. Hantu kubur amat ditakuti dikalangan orang-orang asli kerana mampu menyebarkan penyakit. Ini adalah antara sebab orang asli berpindah randah sekiranya berlaku kematian. Malah ia ditakuti oleh puak asli Kubu (Indonesia) dan Jakun (Malaysia) walaupun mereka dipisahkan oleh selat Melaka.
Hantu kubur sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat.

PARI-PARI


Pari-pari merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan, yang terdapat dalam hutan. Pari-pari ini dikatakan mempunyai masyarat tersendiri dan boleh dikatakan menyerupai orang bunian. Pari-pari dikatakan tidak dipelihara oleh manusia dan dikatakan hidup bebas.
Pari-pari dipercayai mempunyai kuasa ajaib dan mampu membantu menyembuhkan penyakit atau memberi kekayaan.
Secara ilmiah, pari-pari kemungkinan berasal daripada kepercayaan
animisme atau Hindu, (meskipun teori ini tidak berasas) yang mempercayai bahawa kesemua benda, seperti pokok besar, batu berbentuk pelik, mempunyai penunggu / dewa yang dipercayai mempunyai kuasa bagi membantu manusia.


JERANGKUNG


Jerangkung merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan, yang dipelihara bagi tujuan menginiaya orang lain. Pemeliharaan makhluk halus seperti ini turut dikenali sebagai saka.
Jerangkung bisanya dipelihara dengan tujuan membantu pemiliknya melindung diri atau bagi memusnahkan musuh.
Jerangkung mampu merasuk mangsanya dan menjadikan mangsanya menderita.
Pemelihara Jerangkung biasanya akan membeli atau memuja untuk mendapatkan Jerangkung. Jerangkung yang dipelihara, dipercayai secara umum akan mematuhi perintah tuannya selagi ia dijaga dengan baik. Sekiranya gagal, Jerangkung akan menghisap darah ahli keluarga terdekat pemiliknya.


HANTU GALAH


Hantu Galah merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan.
Ia dikatakan berbentuk manusia tetapi bersaiz besar dan amat tinggi sehingga kepalanya dikatakan menyapu awan. Ia sering kali ditemui jauh di dalam hutan dan biasanya hanya kakinya yang kelihatan.
Mereka yang diusiknya dikatakan sering menyangka kakinya sebagai batang pokok. Kakinya dikatakan berbulu panjang dan hanya mangsa hanya terserempak pada waktu malam apabila sering bersandar atau memegang kakinya, atau ketika melalui celah kangkangnya.
Manusia yang bersahabat dengannya dikatakan boleh mencabut bulu betisnya yang akan dibakar untuk menyerunya apabila memerlukan pertolongannya.
Hantu galah dipercayai hanya mengusik tetapi tidak membahayakan orang.
Hantu galah dikatakan nampak dalam keadaan normal apabila kita pertama kali melihatnya tetapi menjadi tinggi dan tinggi sampai ke satu masa kita hanya melihat kakinya. Seseorang dinasihatkan supaya tidak mendongak ke atas atau kepala kita akan selama-lamanya mendongak ke atas.
Seseorang juga dinasihatkan tidak berjalan di celah kakinya atau hantu ini akan mengepit orang itu dengan kakinya yang panjang.
Kalau ditakdirkan terjumpa hantu galah, dinasihatkan supaya menirap. Kerana tubuh makhluk ini yang tinggi lampai, ia tak akan perasan manusia yang menirap.
Hantu galah antara hantu-hantu yang dikatakan direka ceritanya untuk menakut-nakutkan kanak-kanak supaya tidak memanjat pokok pada waktu malam. Sesetengah orang Melayu percaya hantu galah dapat dilihat jika seseorang itu mempercayai kewujudannya.


JIN TANAH


Jin Tanah dalam budaya Melayu, merujuk kepada sejenis makhluk halus dan perkara tahyul. Ia dikatakan terdiri daripada golongan jin atau syaitan, yang dikatakan menjaga sesuatu kawasan (tanah).
Jin Tanah biasanya menjaga sesuatu kawasan tanah dan akan menganggu mereka yang membuka tanah baru untuk berhuma. Untuk mengelakkan gangguan Jin Tanah, biasanya upacara pembukaan tanah baru akan di adakan. Biasanya makanan yang disediakan dikenali sebagai
acak / sajian termasuk telur, ayam panggang, pulut kuning dan sebagainya. Sekiranya tidak, Jin Tanah akan mengganggu mereka yang meneroka kawasan tanah baru tersebut.
Jin Tanah dikatakan mengawal pembukaan tanah baru. Dengan itu pembukaan tanah baru tidak akan dilakukan secara sewenang-wenangnya, dan secara tidak langsung menghalang penerokaan
tanah haram.


HANTU KERAMAT


Hantu Keramat merujuk kepada semangat atau makhluk halus yang terdapat disuatu tempat tetapi tidak mengganggu orang.
Hantu Keramat dikatakan akan berada di sesuatu tempat tertentu dan mampu membantu mereka yang datang membuat permintaan dari mereka. Hantu keramat biasanya dikaitkan dengan batu besar, pokok besar atau sesuatu kawasan seperti dipersimpangan. Keramat dipercayai akan mengkabulkan permintaan seseorang yang memberikan persembahan kepada mereka. Contohnya, dengan mempersembahkan sebiji telur, seseorang itu mampu menang loteri untuk membeli rumah besar.


HANTU KUM-KUM


Asal hantu kum-kum dikatakan bermula dengan seorang wanita yang mengamalkan ilmu mencantikkan muka. Tetapi salah satu pantangnya merupakan dia tidak boleh melihat cermin selama 10 hari / sesetengah cerita menyatakan sebulan.
Semenjak hari itu semua orang memuji-muji kejelitaan wanita itu dan menyebabkan dia tidak sabar dan melihat wajahnya di cermin pada hari terakhir. Akibatnya mukanya menjadi buruk, dan setelah dia menemui kembali gurunya, dia diberitahu bahawa mukanya hanya akan kembali cantik setelah dia menyapu mukanya dengan darah XX perawan.
Disebabkan itu wanita itu merayau-rayau mengetuk pintu rumah bagi mencari mangsa sambil menyatakan "Kum-Kum" sambil mengenakan jibab.
Matlamat hantu kum-kum dikatakan memulihkan wajah penuntutnya yang terlanggar pantang.
Hantu kum-kum merupakan cerita hantu moden yang mula berkeliaran sekitar
1970-an ketika kebangkitan kesedaran semula Islam dikalangan orang-orang Melayu. Ketika itu, para pemudi mula mengenakan hijab dan perkara ini tidak disenangi oleh kumpulan yang mengenakan skirt mini. Dengan itu hantu kum-kum dicipta sebagai sindiran kepada kumpulan yang memegang kepada ajaran Islam ketika itu. Hantu kum-kum juga kembali popular ketika kumpulan al-Arqam (sudah diharamkan tetapi masih aktif sebagai kumpulan Rufaqa') mula aktif di Malaysia yang menyaksikan pemakaian purdah yang di kalangan wanita pengikut kumpulan itu[1]. Purdah adalah sejenis pakaian yang menutup hampir keseluruhan diri wanita kecuali mata.


ORANG MINYAK


Orang minyak merujuk kepada seseorang yang menuntut ilmu batin bagi tujuan menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa bagi tujuan mencuri/membuat onar.
Salah satu cerita mengatakan orang minyak ini telah tersalah menuntut, menyebabkan dia menjadi hitam dan hanya akan pulih selepas memperkosa 40 orang gadis. Mangsa akan menjadi terpukau dan ditanda dengan dipangkah pada mukanya selepas dinodai.
Kisah orang minyak ini amat popular sehinggakan ia dijadikan sebuah
filem pada tahun 1958. Filem ini diterbitkan oleh Malay Film Productions Ltd dan diarahkan oleh P. Ramlee.
Orang minyak mampu memasuki rumah yang berkunci dengan mudah. Selain itu
ia dikatakan dapat menghilangkan diri dengan mudah sekiranya dikejar. Mampu melekat pada siling seperti cicak. Mampu juga naik ke atas dengan sehelai benang dan mampu menggunakan pelesit.
Sekiranya seseorang itu tidak mahu diganggu oleh Orang Minyak pada waktu malam terutamanya gadis, sekeliling tempat tidurnya harus ditaburi dengan kelopak jantung pisang dan daun keladi bira. Untuk menangkap Orang Minyak, apabila Orang Minyak itu telah dikepong, ia harus diselubungkan dengan kain batik lepas untuk melemahkannya. Hanya setelah diselubungkan dengan kain batik lepas baru boleh digigit ibu jari Orang Minyak itu untuk menghapuskannya.
Kemungkinannya ia bermula dengan pencuri yang melomorkan dirinya dengan minyak agar sukar ditangkap kerana licin. Minyak yang gelap juga akan menjadikan dirinya sukar dilihat pada waktu malam, sunggupun ia membahayakan dirinya ketika memanjat. Pada 24 November 2006, seorang pencuri yang melomorkan dirinya dengan minyak telah di tahan di kampung Tawas, Malaysia.


PENANGGAL


Hantu Penanggal atau juga dikenali sebagai hantu tengelong di negeri Kedah merujuk kepada seseorang, biasanya wanita, yang menuntut ilmu hitam bagi sesuatu kepentingan. Mereka yang menuntut ilmu ini mampu menceraikan kepala dengan badan mereka dan kepala mereka mampu terbang dengan tali perut terurai-urai. Darah yang menitik dari tali perut mereka dipercayai berbisa dan akan menyebabkan kudis kepada mereka yang terkena. Mereka yang menuntut ilmu penangalan biasanya akan menyimpan setempayan cuka bagi memeram urat perut mereka agar kecut sebelum bercantum masuk kembali kedalam badan asal mereka. Dipercayai sekiranya tubuh mereka dijumpai orang dan diterbalikkan, kepala mereka akan bercantum secara terbalik, dengan itu rahsia mereka akan terbongkar.
Penangalan dipercayai suka darah
perempuan yang bersalin, dan sekiranya mereka menghisap darah tersebut, wanita bersalin itu akan mati akibat tumpah darah. Oleh itu, biasanya disekeliling rumah wanita bersalin (masa dahulu, rumah dibina bertiang), diletakkan sejenis daun yang berduri. Dipercayai penanggalan takut hendak mendekati rumah tersebut kerana bimbangkan tali perutnya tersangkut kepada duri tersebut.
Ketika penanggalan terbang, ia dipercayai berupa cahaya putih berkilauan, dari urat perut mereka yang terburai itu.
Hantu Penanggalan dikatakan dituntut oleh seseorang wanita bagi membantunya mengekalkan kecantikannya, membunuh musuhnya, menjaga tanaman / peliharaan daripada pencuri dan lain-lain.


HANTU BIDAI


Hantu Bidai atau juga dikenali sebagai hantu balong bidai merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan, yang suka menganggu manusia. Kononnya hantu bidai merupakan semangat jahat yang tinggal dalam air. Hantu bidai mampu menyerupai tikar, dan akan menggulung dan melemaskan mangsa.


HANTU KOPEK


Hantu Kopek merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/shaitan, yang suka menganggu manusia. Kononnya hantu kopek berbentuk seorang wanita yang tua yang suka menyorokkan kanak-kanak kecil yang suka bermain-main di luar rumah semasa waktu maghrib, dengan cara menyembunyikan mereka dengan kopek (buah dada) mereka.
Hantu kopek dikatakan berkeliaran dikawasan perkampungan dan akan menyorok kanak-kanak yang merayau-rayau pada waktu senja. Mereka yang disorok oleh hantu kopek, biasanya mampu melihat mereka yang mencari tetapi tidak mampu berkomunikasi dengan pencari.
Hantu kopek ini dipercayai digunakan bagi menakut-nakutkan kanak-kanak agar tidak berkeliaran di waktu senja. Ini disebabkan pada masa dahulu, keadaan gelap senja amat merbahaya kerana haiwan buas mungkin memasuki kawasan perkampungan atau kanak-kanak yang berkaki ayam mungkin akan terpijak onak, duri, paku atau kaca dalam kegelapan malam. Selain itu terdapat juga ancaman binatang buas seperti harimau yang mungkin memasuki kampung dipinggir hutan. Dengan itu hantu kopek dicipta bagi menyelamatkan mereka daripada ancaman tersebut.


HARIMAU JADIAN


Harimau jadian dalam budaya Melayu, merujuk kepada sejenis ilmu yang membolehkan penuntutnya bertukar menjadi harimau apabila dikehendaki. Ia dikatakan dibantu oleh golongan jin atau syaitan, yang dipelihara bagi tujuan membantu tuannya mempertahankan diri dan juga bagi memudaratkan musuh.
Harimau jadian biasanya perlu dibuang
sebelum meninggal, dan sekiranya tidak dibuangkan, penuntut ilmu itu akan sukar meninggal dunia.
Harimau jadian biasanya dituntut bagi tujuan mempertahankan diri. Harimau jadian juga boleh disalah gunakan bagi membinasa musuh atau orang yang dibenci pemiliknya. Bagi penuntut ilmu ini, merekaperlu membuang ilmu mereka atau mewariskannya kepada keturunan mereka sebelum mati. Sekiranya mereka mewariskan kepada keturunan mereka ia tergolong kedalam saka. Di Indonesia masih ada penganut Ilmu harimau yang dapat membenarkan dirinya berubah jadi harimau dan pemilik nya juga rata-rata mempunyai pendamping harimau.
Kemungkinannya ia digunakan bagi menakut-nakutkan orang lain daripada menganggu tanaman atau keselamatan orang yang mendakwa memiliki ilmu sedemikian. Selain itu perlu diingat bahawa sekitar 1930-an harimau masih banyak terdapat di Malaysia dan masih ada harimau yang berkeliaran dalam kampung pada waktu malam semasa itu, terutamanya di Terengganu, dan Kedah. Keadaan sedemikian mungkin mendorong timbulnya tuduhan harimau itu dipelihara seseorang dalam kampung tersebut.


Menghalau hantu

Pada masa kini, kebanyakan orang sudahpun berfikiran moden dan akan mendapatkan rawatan di hospital atau klinik. Tetapi kadang-kala, pihak hospital atau klinik mendapati tidak terdapat sebarang masaalah dijumpai. Biasanya keluarga si pesakit menganggap sipesakit diganggu sesuatu, dan akan berpaling kepada perkhidmatan traditional bagi cuba mengobati pesakit.
Perubatan cara menghalau hantu secara umumnya terbahagi kepada dua:-
Menggunakan khidmat sahabat jin bagi menghalau jin penganggu, biasanya dengan cara menurun.
Menurut petua yang tidak bertentangan dengan Islam, tiada bacaan tertentu cuma menggunakan bahan-bahan semulajadi.
Menurut keugamaan masing-masing.
Sesetengah mereka yang berfikiran moden berpendapat, ia hanyalan kesan placebo. Selagi mereka yang diubati percaya mereka sihat, mereka akan sembuh dengan sendiri. Dalam erti kata lain, penyakit ini adalah penyakit dalam fikiran (psikologi). Walaubagaimanapun, keluarga pesakit tidak mempeduli apa yang berlaku. Bagi mereka, asalkan sipesakit sembuh, mereka akan melakukan apa jua yang diperlukan.

Bersahabat dengan jin

Bersahabat dengan jin merujuk kepada seseorang yang mengikat tali persahabatan dengan makhluk halus. Persahabatan ini biasanya tidak digalakkan kerana ia mampu mendorong seseorang menjadi syirik, tetapi selalunya masih dilakukan kerana keinginan mendapat kelebihan tertentu seperti kebolehan mengubat. Persahabatan dengan jin ini juga dikenali sebagai saka.
Mereka yang bersahabat dengan jin ini perlu mematuhi beberapa syarak seperti ada yang meminta persembahan makanan, ada yang perlu dibakar kemian setiap waktu
tertentu, dan ada yang mengenakan apa-apa syarat kecuali mereka ini mengerjakan amalan Islam dengan taat. Jin yang mengenakan syarat mereka yang bersahabat dengan mereka agar mengerjakan amalan Islam dengan taat biasanya dikenali sebagai jin Islam atau kaum bunian.

Cara berhubung dengan sahabat jin

Cara lama ialah memanggil bomoh atau pawang di dalam sesebuah kampung. Bomoh atau pawang biasanya membakar kemenyan , membaca mentera tertentu seperti bahasa Jawa , kain kuning dan dedaun-dedaun tertentu sebagi peramu atau perambas. Untuk kes yang lebih berat, kambing akan disembelih, darahnya dijadikan acak (hidangan kepada hantu) dan dihanyutkan ke dalam sungai. Daging kambing dimasak dan dimakan secara beramai-ramai. Sekarang perkara ini tidak lagi dilakukan kerana perkara itu telah diketahui sebagai syirik.
Di Kelantan , tarian
Ulik Mayang atau Main Puteri akan dipersembahkan. Sekiranya seseorang itu gagal diubati dengan cara biasa, satu upacara besar-besaran dengan tarian Ulik Mayang atau Main Puteri akan dilakukan. Nyanyian lagi Ulik Mayang yang merdu beserta tarian ringkas , dirambas dengan tandan pinang kecil menyeru tuan puteri (bunian) agar datang menyembuhkan pesakit.
Di banyak tempat, bomoh boleh 'menyelap' atau 'menurun' hingga boleh bertutur bahasa asing. Contohnya bahasa Siam, bahasa Jawa, bahasa Jerman dan bahasa Inggeris. Pendengar akan kehairanan kerana bagaimana jin boleh berbahasa asing walaupun sepatah dua sahaja. entah betul entah tidak bomoh tersebut berbahasa Inggeris.
Kualiti bomoh semakin meningkat jika berasal dari Orang Asli , orang Siam atau orang Jawa. Ilmu orang Asli tentang menghalau hantu dan memanggil hantu dipercayai lebih mujarab dan sangat ditakuti.

Menurut cara perubatan Islam

Orang Melayu yang agak beriman akan berjumpa dengan orang alim seperti ustaz, Imam, lebai, pak aji atau tokoh agama di dalam kampung untuk menyelesaikan masalah ini dengan bacaan al Quran. Mereka yang sakit biasanya akan dibacakan ayat-ayat tertentu bagi memulihkan semangat, dan biasanya dimandikan / disuruh mandi dengan air campuran limau bagi menyegar badan. Selain itu air yang dibacakan bacaan al Quran diberi munum bagi memulih/penguat semangat pesakit. Ini sama seperti mereka yang berfikiran moden berjumpa dengan pakar motivasi bagi meringankan fikiran daripada masaalah yang dihadapi.
Bagi orang Melayu, hantu boleh dihalau dengan bacaan ayat-ayat suci. Oleh itu, orang Melayu menyimpan al Quran di rumah. Selain itu ayat-ayat Quran tertentu digantung di dinding-dinding rumah walaupun mereka tidak mengerti apa maksudnya. Perkara ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, kerana Al Quran adalah untuk dibaca dan bukannya menjadi hiasan

Wednesday, October 15, 2008

~tHe^ChaRacteRs~

**KurOsaKi^IcHigO**
Division: -x-
Age: 15
Height: 174cm
Weight: 61kg
Birthday: July 7
Blood Type: AO
Occupation: Student / Shinigami






**Kuchiki^Rukia**


Division: 13th
Age: unknown
Height: 144cm
Weight: 33kg
Birthday: January 14
Blood Type: AO
Occupation: Shinigami




~Inoue^Orihime~


Division: -x-
Age: 15
Height: 157cm
Weight: 45Kg
Birthday: September 3
Blood Type: BO
Occupation: Student




~Sado^Yasutora~


Division: -x-
Age: 15
Height: 197cm
Weight: 112kg
Birthday: April 7
Blood Type: AO
Occupation: Student





~Ishida^Uryuu~


Division: -x-
Age: 15
Height: 171cm
Weight: 55 Kg
Birthday: November 11
Blood Type: AB
Occupation: Student / Quincy





~KON~


Division: -x-
Age: unknown
Height: 27cm
Weight: 182 grams
Birthday: December 30
Blood Type: -x-
Occupation: Modified Soul